Faktor-faktor Pendorong Penggunaan e-Dagang


Teknologi ialah antara kelebihan penting kepada usahawan yang progresif dan berprinsip sentiasa mahukan pembangunan.  Ini kerana kemahiran teknologi dalam perniagaan boleh menaikkan imej dan kredibiliti seseorang usahawan itu.  Teknologi moden yang wujud di dunia ini seperti kemudahan Internet dan penggunaan konsep e-dagang menarik perhatian orang ramai tentang ilmu niaga yang semakin canggih ini.  Pembekal, peniaga, ataupun pembeli boleh mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perniagaan atau aktiviti syarikat dengan lebih cepat, tepat dan padat melalui pelbagai bentuk media.

Penggunaan e-dagang dalam perniagaan dipercayai didorong oleh beberapa faktor yang kuat.  Antara yang utama ialah, kemudahan teknologi di serata dunia.  Kini hampir seluruh dunia mendapat akses kepada rangkaian Internet di mana sahaja pada bila-bila masa.  Peniaga percaya bahawa dengan adanya kemudahan seperti ini, aktiviti perniagaan dapat dikembangkan berbanding jika bergantung kepada manual perniagaan yang cuma duduk di pejabat atau premis menunggu barang jualan laku.  Faktor kedua ialah komunikasi.  Komunikasi kini lebih mudah, murah, cepat dan efisien dengan adanya kemudahan teknologi untuk proses perniagaan secara e-dagang.  Peniaga boleh sahaja berniaga melalui talian Internet dan berkomunikasi dua hala dengan pembeli dan pembekal dengan cara rasmi dan tidak rasmi, bergantung dengan keadaan yang bersesuaian. 

Faktor ketiga adalah keberkesanan kos.  E-dagang merupakan satu teknologi yang membolehkan proses perniagaan dikomputerkan di mana perniagaan boleh mendapat pulangan yang tinggi dengan menggunakan peralatan mesin yang moden seperti komputer dan telefon pintar.  Harga dan kos yang berpatutan juga boleh menjadi motivasi utama seseorang pengguna menggunakan urusan jual beli secara atas talian.  Kos yang dimaksudkan disini adalah penjimatan kos dari bermacam sudut.  Dengan penjimatan tersebut, ia dapatlah meningkatkan lagi produktiviti usahawan di mana mereka dapat berkongsi dan menyebarkan maklumat dengan lebih pantas, tepat, efisien melalui pelbagai medium di media massa teknologi terkini.  Selain itu, penjimatan masa dan tenaga juga salah satu faktor penggunaan e-dagang ini. Apa-apa sahaja maklumat ataupun perkara yang berkaitan dengan perniagaan atau produk dan perkhidmatan boleh dilakukan, disebarkan pada bila-bila masa menggunakan komputer atau telefon pintar.  Maklumat tersebut juga mudah disimpan secara cloud dan boleh dirujuk dengan menggunakan perisian terkini dalam memastikan pekerjaan urusniaga berjalan dengan lancar.

Faktor-faktor yang mendorong kepada penggunaan e-dagang ini sebenarnya memperbaiki mobiliti perniagaan yang mana alat-alat elektronik yang digunakan boleh memendekkan masa untuk menerima dan menghantar barangan atau perkhidmatan dan yang lebih penting lagi mewujudkan lebih banyak peluang dan daya saing dalam industri selain untuk pembangunan masa hadapan.

No comments:

Post a Comment